Sekurang-kurangnya 10 maut manakala 40 lagi cedera dalam insiden gempa bumi yang melanda Pulau Lombok, Indonesia pagi ini.

Gempa bumi kuat 6.4 skala Ritcher itu memusnahkan puluhan rumah teres dan bangunan tinggi.

Malah, angka kematian dan kecederaan ekoran bencana alam ini juga dijangka meningkat.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) gempa bumi yang berlaku pada pukul 6.47 pagi pada kedalaman tujuh kilometer berpusat di 1.4 kilomter barat daya Lelongken, Indonesia.

Insiden itu turut disusuli gempa susulan berkekuatan 5.4 skala Richter di kawasan sama di timur Indonesia, berpusat di bahagian utara pulau itu, 49.5 km di timur laut bandar Mataram.

Orang ramai saling bantu membantu mangsa yang cedera akibat gempa bumi kuat melanda Pulau Lombok, Indonesia. - Foto Reuters

Ia bagaimanapun tidak mencetuskan gelombang di laut atau tsunami.

Sementara itu, Agensi Geofizik dan Meteorologi Indonesia merekodkan 11 gempa susulan selepas gegaran pertama tersebut.

Difahamkan, kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur ketika gempa pertama berlaku.

Beberapa keping gambar tersebar mengenai kemusnahan rumah dan pintu masuk Taman Nasional Gunung Rinjani hingga memaksa taman negara itu ditutup kerana dikhuatiri berlaku tanah runtuh.

Seperti Bali, Lombok juga terkenal dengan pantai dan gunung yang indah.