Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban dan 17 lagi cedera dalam satu nahas yang melibatkan sebuah bas dan sebuah trak di Slovakia pada Rabu.

Nahas berlaku di Nitra, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota Bratislava.

Menurut Menteri Kesihatan Slovakia, Andrea Kalavska, bas berkenaan yang membawa pelajar sekolah bertembung dengan trak.

Katanya, empat yang terbunuh merupakan kanak-kanak, namun beliau tidak mendedahkan umur mangsa.

Menteri Dalam Negeri Slovakia Denisa Sakova berkata, kira-kira 60 anggota bomba berada di lokasi.

"Pada mulanya, terdapat 30 anggota, namun sekarang kita mempunyai 60. Dan, disebabkan oleh cuaca buruk dan kemalangan yang teruk, kami memanggil unit dari kawasan Bratislava, Trnava dan Banska Bystrica.

"Kami juga mempunyai 15 anggota polis di tempat kejadian, kerana kami memerlukan kemalangan jalan raya ini didokumenkan dengan cara yang teliti untuk mengetahui punca kejadian," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Slovakia Zuzana Caputova menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa yang terlibat.

Mangsa yang cedera dirawat di hospital.