Ketua Polis Nasional Indonesia mengarahkan siasatan dijalankan berhubung penahanan 12 transgender yang ditahan di Aceh.

Ini kerana kesemua mereka dilaporkan telah dipukul dan dipaksa menggunting rambut mereka sebelum dibebaskan tanpa sebarang hukuman.

Indonesia merupakan salah satu negara yang mempunyai populasi masyarakat Islam terbesar namun Aceh merupakan satu-satunya daerah yang menguatkuasakan undang-undang Islam dan menentang homoseksual.

Polis dan pegawai agama di Aceh sering melakukan serbuan di rumah dan tempat kerja bagi mencari mereka yang terlibat dengan aktiviti seks sejenis.

Hujung minggu lalu, satu serbuan dilakukan di sebuah salon kecantikan dan 12 transgender telah ditahan dalam serbuan tersebut.

Pejuang hak asasi dan media tempatan melaporkan kesemua 12 transgender yang ditahan telah dipukul dan dipaksa untuk menggunting pendek rambut mereka.

Jurucakap polis Aceh, Mishabul Munauwar berkata, terdapat beberapa keping gambar suspek tular dan pihaknya sedang menyiasat jika benar berlaku serangan fizikal.

Katanya susulan itu, ketua polis nasional mengarahkan agar satu siasatan dijalankan bagi menyiasat kejadian sebenar di sebalik gambar tersebut.

Siasatan itu adalah sesuatu yang dialu-alukan kumpulan hak asasi manusia di sana.

Selain itu, polis di Aceh dalam beberapa bulan ini telah meningkatkan operasi bagi membanteras operasi spa gay dan parti gay yang beroperasi di sana.

Beberapa orang turut ditahan dalam operasi tersebut.

Menurut Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf, mereka tidak membenci golongan gay, lesbian, biseksual dan transgender namun apa yang dipandang serius ialah kelakuan dan tindakan mereka.

Tahun lalu, kerajaan wilayah Aceh menerima kecaman dan kritikan antarabangsa apabila menjatuhkan hukuman secara terbuka di depan orang ramai dengan merotan dua lelaki gay yang didakwa melakukan hubungan seks sejenis.