Operasi mencari dan menyelamat diteruskan di barat Jepun pada Selasa bagi mengesan mangsa yang tertimbus susulan hujan lebat berterusan yang melanda negara itu sejak minggu lalu.

Hampir 130 terkorban manakala puluhan lain masih dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat hujan.

Perdana Menteri Shinzo Abe membatalkan lawatan rasmi beliau ke luar negara bagi menangani banjir terburuk negara itu sejak 1982.

Keadaan cuaca kini telah berubah menjadi panas terik dengan catatan suhu melebihi 30 darjah Celsius.

Ini membimbangkan ramai penduduk di mana rumah mereka terputus bekalan elektrik dan air susulan bencana itu.

"Kami tidak boleh mandi, tandas kami tidak berfungsi dan bekalan makanan semakin berkurangan," kata seorang mangsa, Yumeko Matsui.

Rumahnya di bandar Mihara, di wilayah Hiroshima terputus bekalan air sejak Sabtu lepas.

Kira-kira 11,200 rumah terputus bekalan elektrik pada Isnin manakala beribu lagi tiada bekalan air.

Menurut stesen televisyen tempatan NHK, angka kematian meningkat kepada 126 orang pada Selasa manakala enam lagi dalam keadaan kritikal.

Tambahnya 63 orang pula dilaporkan hilang.

Lebih 1.7 juta penduduk masih belum boleh kembali ke kediaman masing-masing.