Sekurang-kurangnya 13 anggota polis maut dalam satu serangan di Michoacan, Mexico, pada Isnin, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Keselamatan Awam persekutuan negara itu.

Pihak berkuasa tempatan berkata kesemua anggota polis terbabit sedang menuju ke pusat bandar El Aguaje untuk menyerahkan satu waran apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan membakar kenderaan mereka.

Gambar kejadian itu telah diedarkan di media sosial.

Sesetengah gambar menunjukkan beberapa tanda yang didakwa berasal daripada kumpulan Jalisco New Generation Cartel, yang dilaporkan memberi amaran agar pegawai polis tidak menyokong organisasi jenayah lain.

Michoacan yang merupakan sebuah negeri di bahagian barat telah dikenali sebagai zon pertempuran antara kartel sejak bertahun-tahun. Keganasan telah memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada bulan Ogos, berlaku pembunuhan beramai-ramai di negeri itu dan polis telah menemui 19 mayat dengan sesetengahnya tergantung di jambatan.

Pihak berkuasa berkata pembunuhan baru-baru ini adalah akibat daripada pertelagahan antara kumpulan kartel.

Kenderaan polis terbakar dalam serangan yang disyaki dilakukan oleh kartel di El Aguaje, Michoacan, Mexico, 14 Okt, 2019, 2019. REUTERS

Terdapat sekurang-kurangnya empat kartel yang beroperasi di rantau ini, menurut peguam negara.

Pegawai keselamatan tempatan berkata 13 anggota polis maut dalam serangan terkini namun Kementerian Keselamatan Awam negara itu dalam Twitternya berkata angka korban ketika ini ialah 14 orang.

Kementerian itu telah mengutuk serangan tersebut.

"Kami sedang berkomunikasi dan menggerakkan seluruh sumber manusia dan teknologi yang ada kepada kerajaan negeri dalam usaha mengesan pelaku dan mengheret mereka ke muka pengadilan," menurut kementerian itu.

-- BERNAMA