Seorang ibu akhirnya dikurniakan anak perempuan selepas mengalami keguguran sebanyak 13 kali sejak tahun 2008.

Laura Worsley, melahirkan anaknya, Ivy, sembilan bulan lalu selepas mengalami kekecewaan dan trauma sepanjang perkahwinan dengan suaminya, Dave.

Wanita berusia 35 tahun itu sebelum ini didiagnos menghidap sindrom antiphospholipid selepas menjalani rawatan di Hospital Universiti Coventry dan Warwickshire.

Sindrom antiphospholipid bermaksud darah seseorang wanita itu senang membeku dan menyumbang kepada keguguran berulang dan keguguran lewat kehamilan.

“Saya diberitahu untuk mengambil dos asid folik yang tinggi, namun ia tidak berkesan. Kemudian kami menjalani pemeriksaan dan ujian serta mencuba beberapa ubat-ubatan dan berharap keajaiban akan berlaku,” katanya kepada BBC News.

Katanya, dia dan suami sudah kehilangan banyak masa dalam usaha mendapatkan cahaya mata dan merasakan seperti tiada harapan lagi.

Pasangan itu kemudian berusaha untuk mendapatkan cahaya mata dan Laura bertekad itu merupakan kali terakhir dia melakukan percubaan sebelum dikurniakan Ivy.