Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 15 lagi kes jangkitan tempatan virus Zika di republik itu sehingga tengah hari Isnin, Channel NewsAsia melaporkan.

Laporan itu yang memetik MOH dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura berkata dua kes dilaporkan membabitkan pekerja di tapak pembinaan di 60 Sims Drive dan pesakit telah sembuh.

Ia menambah bahawa 13 kes membabitkan mereka yang tinggal atau bekerja di kawasan Sims Drive/Aljunied Crescent.

Kedua-dua kes di tapak pembinaan Sims Drive dikesan hasil pemeriksaan semula dan ujian oleh MOH ke atas mereka yang dijangkiti.

Sehingga Isnin, laporan itu berkata MOH telah selesai menjalankan ujian ke atas semua pekerja di tapak pembinaan yang sebelumnya menunjukkan tanda-tanda demam dan ruam.

"Kami juga memeriksa pekerja yang tinggal di asrama yang terletak di kawasan-kawasan berkenaan," pihak berkuasa dipetik sebagai berkata.

Pemeriksaan semula itu mungkin akan mengesan lebih banyak kes jangkitan Zika sebelumnya yang tidak didiagnos, kata kenyataan itu.

Sehingga Isnin, laporan itu berkata NEA telah memeriksa kira-kira 3,600 daripada 6,000 premis di kawasan Aljunied Crescent/Sims Drive untuk mengesan tempat pembiakan nyamuk dan juga menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar.

Ia berkata 36 habitat pembiakan - 22 di rumah dan 14 di kawasan bersama dan premis lain - telah dikesan dan dimusnahkan.

Laporan itu berkata NEA juga menjalankan pemeriksaan di kuarters pekerja di tapak pembinaan di Sims Drive.

NEA juga menjalankan operasi kawalan vektor di kawasan-kawasan di Aljunied Crescent/Sims Drive yang kes jangkitan dilaporkan membabitkan mereka yang bekerja atau tinggal di kawasan tersebut.