Syarikat penerbangan Perancis Air France, dilaporkan terpaksa membatalkan penerbangan 15 penumpang daripada beberapa negara Islam ke Amerika Syarikat.

Ia susulan penguatkuasaan dasar imigresen terbaharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Jumaat lalu.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah dimaklumkan oleh kerajaan Amerika Syarikat berkaitan halangan terbaharu itu dan berkata tiada jalan lain selain menghalang penumpang terbabit untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan syarikat itu.

Syarikat itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama, identiti atau penumpang terbabit berasal daripada negara mana.

Pada awalnya, syarikat Air France berkata seramai 21 penumpang dari negara Islam telah dilarang menaiki pesawatnya ke Amerika Syarikat, namun angka itu kemudiannya diubah kepada 15 penumpang.

Pada Jumaat lalu, Trump mengenakan empat bulan sekatan terhadap pelarian yang datang ke Amerika Syarikat.

Trump turut melarang kemasukan pelancong/pendatang dari tujuh negara Islam selama 90 hari, mengatakan langkah itu bertujuan membantu melindungi rakyat Amerika daripada serangan pengganas.

Negara Islam tersebut ialah Syria, Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.

Walaupun bersifat sementara, namun arahan itu berkuatkuasa serta merta mengakibatkan situasi kelam kabut dan kekeliruan bagi pemilik pasport tujuh negara berkenaan.