Sekurang-kurangnya 16 maut dan 35 yang lain cedera apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di sebuah masjid di Pakistan pada Jumaat.

Kejadian berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat di kampung Butmana di daerah puak Mohmand yang bersempadan dengan Afghanistan.

"Solat Jumaat sedang berlangsung di masjid apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya mengorbankan sekurang-kurangnya 16 jemaah dan mencederakan 35 yang lain," kata seorang pegawai kanan pentadbiran puak kepada AFP.

"Kawasan ini terpencil dan setakat ini saya hanya menerima maklumat ini daripada sumber kami melalui wayarles," katanya.

Seorang lagi pegawai kerajaan tempatan mengesahkan maklumat berkenaan.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab, tetapi puak Taliban di Pakistan sering menyerang sasaran mudah seperti gelanggang, sekolah dan masjid.

Pada Disember 2014, militan Taliban menyerbu sebuah sekolah di Peshawar, membunuh lebih 150 orang, kebanyakannya kanak-kanak, dalam serangan paling dahsyat di Pakistan.

Pihak tentera melancarkan operasi pada Jun 2014 dalam usaha menghapuskan pangkalan militan di kawasan barat laut untuk menamatkan pemberontakan berdarah yang meragut beribu nyawa orang awam sejak tahun 2004.

Keselamatan di negara itu kebelakangan ini bertambah baik.

Serangan kecil-kecilan masih berlaku, tetapi ia semakin berkurangan dan tidak begitu dahsyat berbanding tahun-tahun sebelumnya.