Sekurang-kurangnya 19 penumpang terbunuh apabila sebuah bas tergelincir di atas jambatan sebelum terhumban ke dalam sungai di timur Siberia, pada Ahad.

Sementara itu, 22 yang lain dilapor mengalami kecederaan dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.39 pagi waktu tempatan.

Menurut Kementerian Kecemasan Rusia dalam satu kenyataan, bas berkenaan sedang dalam perjalanan ke bandar Sretensk, kira-kira 4,900 kilometer ke timur Moscow.

"Terlalu awal untuk bercakap mengenai sebarang pelanggaran (undang-undang) tertentu. Kami terima maklumat bahawa bas ini bergerak sepanjang laluan dari Chita ke Sretensk.

"Dan kemalangan itu berlaku kira-kira 60km sebelum Sretensk. Bas telah jatuh dari ketinggian 15 meter dan mendarat di bumbungnya. Dan ia menyebabkan kerosakan yang serius dan banyak kematian," kata Egor Markov dari Jawatankuasa Siasatan Rusia.

Akibat kemalangan itu, bas berkenaan terjunam dari jambatan ke Sungai Kuenga.

Ketika kejadian, bas membawa kira-kira 43 penumpang dengan seorang pemandu.

Siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai akibat masalah pada tayar hadapan ketika kenderaan berkenaan melalui jambatan tersebut.