Dua pengunjung maut dan sekurang-kurangnya dua lagi tercedera selepas tercampak dari permainan rollercoaster yang dinaiki mereka di sebuah taman tema di Mexico.

Insiden berlaku di taman tema bandar Feria de Chapultepec di Miguel Hidalgo pada Sabtu.

Rakaman detik cemas yang tular di media sosial memaparkan gerabak terakhir pada rantaian rollercoaster itu tergelincir keluar daripada landasan ketika ia bergerak laju menuruni trek.

Mangsa tercampak keluar dan jatuh ke tanah.



Menurut agensi berita Notimex, gerabak itu tergelincir keluar dari landasan setelah terlanggar struktur logam yang merupakan sebahagian daripada permainan itu.

Kejadian tersebut telah mencetuskan panik dan pasukan penyelamat perubatan dikejarkan di lokasi.

Dalam kenyataan di Facebook, pihak pengurusan taman tema berkenaan meluahkan rasa kesal di atas kejadian yang berlaku dan mengucapkan simpati pada keluarga mangsa.