Sebanyak 26 lagi kes virus Zika jangkitan tempatan disahkan di Singapura Channel NewsAsia melaporkan hari ini.

Laporan yang memetik Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura itu berkata, 111 lagi individu telah diuji negatif sepanjang 24 jam lalu.

Ketika memperincikan jangkitan tersebut, laporan itu berkata 17 kes membabitkan mereka yang tinggal atau bekerja di kawasan Sims Drive/Aljunied Crescent dan lima yang tinggal atau bekerja di Kallang Way dan Paya Lebar Way, ke utara Sims Drive/Aljunied.

Pihak berkuasa sedang menyiasat baki empat kes bagi kaitan dengan kawasan-kawasan yang dijangkiti, kata laporan.

Sehingga Isnin, laporan itu berkata NEA telah memeriksa kira-kira 5,000 daripada 6,000 premis di kluster Aljunied Crescent/Sims Drive untuk mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk dan juga menjalankan pemeriksaan di sekitaran.

Laporan itu berkata 39 habiter pembiakan – terdiri daripada 23 di rumah dan 16 di kawasan bersama/premis lain - telah dikesan dan dimusnahkan.

NEA juga akan memulakan operasi kawalan vektor dan usaha mendekati penduduk di Kallang Way dan Paya Lebar Way, kata laporan itu.

Dua puluh enam kes baharu itu menjadikan jumlah kes yang dilaporkan meningkat kepada 82.