Angka kematian terus meningkat kepada 29 orang, manakala lebih 166 mangsa cedera dalam dua letupan bom di luar stadium bola sepak Besiktas, lapor agensi berita AFP.

Pihak berkuasa melaporkan, hampir kesemua mangsa yang terbunuh adalah anggota polis, kecuali dua orang awam.

Serangan pertama dipercayai berpunca dari ledakan bom sebuah kereta di luar stadium pasukan bola sepak Besiktas, manakala satu lagi letupan berpunca dari serangan pengebom bunuh diri.

Menurut Menteri Dalam Turki, Seleyman Soylu, bom kereta di luar stadium berkenaan dipercayai mensasarkan sebuah bas polis.

Letupan berlaku selepas perlawanan membabitkan pasukan tuan rumah Besiktas yang menewaskan pasukan pelawat Bursaspo, dengan jaringan dua satu pada Sabtu.

Terdahulu menurut saksi kejadian, sasaran serangan adalah bas yang membawa polis anti rusuhan.

Setakat ini, masih belum ada individu yang mengaku bertanggungjawab di atas insiden berkenaan.

Bagaimanapun, siri insiden sebelum ini dikaitkan dengan militan Daish dan kumpulan bersenjata Kurdish yang aktif di timur serta tenggara Turki.