POLIS Jerman menemui sekurang-kurangnya 31 pendatang bersembunyi dalam sebuah trak sejuk beku berhampiran sempadan Republik Czech.

Trak berkenaan dikesan ketika berhenti di lebuh raya A17 yang terletak antara sempadan tersebut dan bandar raya Dresden, kata polis persekutuan pada Rabu.

Kenderaan itu dilaporkan mempunyai plat nombor Turki dan membawa buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pemandunya, seorang lelaki Turki berusia 57 tahun, ditahan kerana disyaki menyeludup masuk mereka yang tiada kebenaran ke dalam negara itu.

Menurut pihak berkuasa Jerman, kesemua pendatang merupakan lelaki berumur antara 18 dan 47 tahun, terdiri daripada warga Turki (24 orang), Syria (3), Iran (3) dan Iraq (1).

Mereka dibawa ke balai polis persekutuan untuk siasatan lanjut.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, puluhan migran dilaporkan maut di dalam trak ketika cuba memasuki negara anggota Kesatuan Eropah.

Pada 2015, 71 pendatang mati di dalam sebuah trak di Austria dan pada 2019, 39 pendatang Vietnam ditemui mati di dalam sebuah trak di Britain.