Tiada siapa yang sanggup menerima khabar kehilangan seseorang yang tersayang. Jika seorang pun deritanya tidak tertanggung, apatah lagi untuk menerima khabar kehilangan empat orang anak dalam sekelip mata.

Namun itulah nasib seorang ibu yang kehilangan empat orang anaknya sekali gus selepas serangan api yang dahsyat pada 11 Disember 2017 di Salford, Greater, Manchester.

Michelle Pearson, 36 tahun, masih lagi tidak mengetahui insiden malang membabitkan empat anaknya itu setelah koma akibat kecederaan serius ketika serangan api tersebut.

Empat anaknya yang maut dikenal pasti sebagai Demi Pearson, 14 tahun; Brandon, 8 tahun; Lacie, 7 tahun; dan Lia, 3 tahun. Kesemuanya meninggal dunia selepas rumah mereka terbakar.

Seorang lagi anak lelaki Michelle yang berusia 16 tahun bagaimanapun terselamat setelah sempat melompat keluar dari tingkap rumah ketika kebakaran.

Kejadian dipercayai tercetus apabila berlaku pergaduhan antara beberapa kumpulan jalanan menyebabkan beberapa bom petrol dilempar ke dalam rumah keluarga berkenaan, lapor portal Daily Mail.

Sementara itu, bapa saudara Michelle telah meminta bantuan orang ramai untuk membantu mengumpul dana buat pengebumian mangsa melalui laman GoFundMe. Kutipan dana setakat berita ini ditulis mencecah £23,445 (RM92767.18).