Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menganggarkan 50,000 orang awam masih berada dalam tahanan militan Daish di Fallujah, pasca operasi tentera kerajaan menawan semula bandar berkenaan.

Menurut ketua jurucakap UNHCR Melissa Fleming, hanya 800 orang berjaya melarikan diri daripada tahanan.

Fleming turut memaklumkan, penduduk bandar itu kini berdepan masalah bekalan makanan yang semakin berkurangan.

Laporan turut menyebut bahawa jumlah individu yang dihukum mati meningkat, berikutan keengganan mereka berjuang untuk kumpulan militan tersebut.

Fallujah yang terletak kira-kira 50 kilometer di barat Baghdad, Iraq merupakan kubu kuat militan Daish selama lebih dua tahun.

Isnin lalu, tentera Iraq bertempur dengan militan Daish, dalam operasi awal menawan semula bandar itu.

Ia merupakan sasaran paling sukar bagi Baghdad setakat ini dalam peperangan menentang kumpulan ekstremis.