Kempen terakhir calon nombor satu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan pendampingnya, Ma’aruf Amin di Stadium Bung Karno, Jakarta, Indonesia tidak hanya disertai lebih 250,000 penyokong mereka.

Bahkan, seramai 500 artis ternama Indonesia juga muncul memberikan semangat sekali gus menterjemahkan sokongan mereka kepada Jokowi yang bertanding dalam Pemilihan Presiden (Pilpres) 2019.

Ketika ini, artis-artis dan budayawan sama-sama berhimpun menjayakan Konsert Putih Bersatu sementara menanti ketibaan Jokowi dan Ma’aruf.

Antara artis yang mengadakan persembahan pada petang Sabtu sempena Konsert Putih Bersatu ialah kumpulan Slank, Harvey Malaiholo, Once, Glenn Fredly, Tompi, Sandy Sandoro dan ramai lagi.

Stadium Bung Karno bagaikan lautan manusia dengan semuanya mengenakan pakaian bewarna putih.

Rata-rata daripada penyokong Jokowi – Ma’aruf juga memakai t-shirt yang tertera wajah kedua-duanya serta angka 1 sebagai tanda nombor urutan pasangan itu dalam Pilpres kali ini.

Dalam kempen terakhir menjelang hari penentuan pada 17 April ini juga, pelbagai hashtag sebagai simbol sokongan pada Jokowi dilaungkan dan bergema dalam stadium yang padat dengan orang ramai.

Antaranya ialah #KonserPutihBerSATU, #barengJOKOWI, #JokowiPutihkanGBK, #berSATUdiSenayan, #RabuPutih, #CoblosNo1 dan banyak lagi.