Sekurang-kurangnya 60 individu termasuk kanak-kanak dari enam sekolah rendah di Los Angeles, Amerika Syarikat cedera apabila 'disimbah' minyak pesawat.

Kebanyakan mangsa adalah daripada Park Avenue Elementary School di Cudahy yang ketika kejadian berada di pekarangan sekolah pada waktu rehat.

Sekolah lain yang terbabit ialah San Gabriel Elementary, Graham Elementary, Tweedy Elementary, 93rd Street Elementary dan Jordan High School.

Dilaporkan kejadian berpunca daripada sebuah pesawat yang terpaksa mendarat cemas sejurus berlepas dari lapangan terbang berdekatan.

Pesawat Delta Airlines yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Los Angeles ke Shanghai, China ketika itu dilapor mengalami masalah teknikal dan terpaksa berpatah balik.

Keadaan itu memaksa pesawat berkenaan membuang minyak bagi mengurangkan berat yang dibenarkan sebelum mendarat.

Tindakan juruterbang pesawat itu bagaimanapun dikritik kerana didakwa tidak mengikut prosedur sepatutnya iaitu membuang minyak di kawasan tidak berpenghuni serta pada kedudukan tinggi.

Delta Airlines dalam satu kenyataan bagaimanapun bertegas bahawa juruterbangnya telah mematuhi protokol yang ditetapkan itu.

Badan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Sementara itu, pihak bomba mengesahkan cecair seperti hujan yang terkena pada kanak-kanak sekolah di situ ialah minyak pesawat.

Pasukan paramedik kelihatan berada di persekitaran sekolah-sekolah terbabit bagi memberi rawatan awal kepada mangsa. Setakat ini tiada mangsa dibawa ke hospital dan dirawat sebagai pesakit luar.

Ibu bapa diminta hadir membawa pulang anak-anak mereka setelah sekolah terbabit dikosongkan sementara.