Sebanyak 74 negara telah menyatakan persetujuan dan kini dalam proses mencari vaksin paling berkesan bagi merawat penyakit COVID-19.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, sambutan luar biasa diterima dari pelbagai negara untuk menguji kombinasi empat ubat-ubatan, dengan lebih 200 individu bersetuju untuk menyertai prosedur berkenaan.

"Kami juga bekerja keras dengan penyelidik di seluruh dunia untuk menghasilkan ubat-ubatan yang paling berkesan untuk merawat COVID-19.

"Terdapat sambutan luar biasa dari pelbagai negara untuk menyertai solidariti ini yang akan mencuba membandingkan empat jenis ubat dengan kombinasi yang sesuai.

"Setakat ini, 74 negara sudah menyertai percubaan atau dalam proses menyertai dengan lebih daripada 200 pesakit telah ditugaskan secara rawak ke salah satu prosedur kajian.

"Setiap pesakit baru yang menyertai percubaan akan menjadikan satu langkah lebih dekat untuk mengetahui fungsi setiap ubat-ubatan," katanya pada sidang media secara maya dari Geneva pada Rabu.

Dalam pada itu, kata Tedros, keutamaan pihaknya ketika ini adalah pekerja kesihatan barisan hadapan termasuk perkara melibatkan perlindungan peribadi seperti topeng muka.

Kerana itu jelasnya, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan dan pengeluar untuk meningkatkan pengeluaran dan pengedaran peralatan berkenaan.

"Terdapat perdebatan yang berterusan mengenai penggunaan topeng di peringkat komuniti.

"WHO mengesyorkan penggunaan topeng perubatan untuk orang yang sakit dan mereka yang menjaga mereka.

"Bagaimanapun, dalam keadaan ini, topeng hanya berkesan apabila digabungkan dengan langkah perlindungan yang lain," ujarnya.

Katanya lagi, WHO akan terus mengumpulkan semua bukti dan menilai kemungkinan penggunaan topeng dengan lebih luas untuk mengawal COVID-19.

Tedros sebelum ini berkata, banyak negara seluruh dunia mempersiakan peluang pertama menangani COVID-19 dalam tempoh dua bulan lalu dan peluang kedua ketika ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin.

Tegasnya, dunia sudah mengatasi pelbagai pandemik sebelum ini dan sudah pasti dapat menangani koronavirus baharu ini.