Sembilan termasuk enam pelancong maut manakala 164 yang lain cedera dalam tragedi gempa bumi berukuran 7.0 magnitud yang menggegar wilayah terpencil dan pergunungan di barat daya Sichuan, China.

US Geological Survey (USGS) menyebut gempa melanda kawasan yang tidak ramai penduduk kira-kira 200 meter di barat bandar Guangyuan pada kedalaman 10km petang semalam.

Lokasi berkenaan juga terletak berhampiran dengan kawasan rizab semula jadi Jiuzhaigou, sebuah destinasi pelancongan.

Kerajaan Sichuan berkata 100 pelancong terperangkap dalam insiden tanah runtuh susulan gempa.

China News Service mengesahkan enam pelancong antara yang terkorban dalam tragedi ini.

Tiada pengesahan kewarganegaraan pelancong yang terbabit, namun Jiuzhaigou jauh lebih popular dengan pelancong China berbanding pelancong luar negara.

Sebanyak 31,500 pelancong telah dipindahkan dari zon gempa, menurut agensi berita rasmi Xinhua pagi ini.

Pusat gempa terletak di wilayah Ngawa yang sebahagian besarnya didiami penduduk Tibet yang kebanyakannya ialah pendatang nomad.