Abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dilaporkan telah dibunuh di Malaysia.

Agensi berita Yonghap dan beberapa agensi Korea Selatan yang memetik sumber yang tidak dinamakan berkata, Kim Jong Nam dibunuh pada pagi Isnin, tanpa memberikan maklumat lanjut.

Kim Jong Nam sememangnya diketahui menghabiskan banyak masanya di luar negara dan sering mengeluarkan kenyataan mengecam pemerintahan dinasti di negara itu.

Dia dipercayai berusia sekitar 40an.

Sementara itu siaran TV Chosun Korea Selatan yang memetik beberapa sumber kerajaan berkata Kim telah diracun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur oleh dua wanita dipercayai ejen Korea Utara yang masih bebas.

Sementara itu Reuters melaporkan jurucakap polis Malaysia mengesahkan seorang lelaki telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari KLIA, namun identiti lelaki terbabit masih belum dapat disahkan.

Selain itu, Kementerian Luar Korea Selatan turut tidak dapat mengesahkan berita pembunuhan itu.

Kim Jong Nam dan Kim Jong Un adalah anak kepada bekas pemimpin, Kim Jong Il yang meninggal dunia pada 2011, namun berlainan ibu.

Pada 2001, Kim Jong Nam ditahan di lapangan terbang Jepun atas kesalahan membawa pasport palsu. Dia berkata ingin melawat Disneyland Tokyo ketika itu.

Selain Jepun, dia sering ke Hong Kong, Macau dan China.