Suruhanjaya Pilihanraya Kebangsaan (NEA) Mesir umum tidak akan menerima sebarang pencalonan baharu untuk Pilihan Raya Presiden yang bakal diadakan pada Mac ini.

Berkuat kuasa serta merta bermula Sabtu NEA juga tidak akan menerima sebarang bantahan terhadap calon yang mungkin dikemukakan.

Pencalonan terakhir yang diterima NEA adalah pada Isnin lalu dari Pengerusi Parti El Ghad, Moussa Mostafa Moussa yang mendaftar di saat-saat akhir tempoh pencalonan.

Dengan penyertaan itu, Pilihan Raya Presiden Mesir yang bakal diadakan pada Mac akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Moussa dan penyandang kerusi presiden sedia ada Abdel Fattah el-Sisi.

Bagi penganalisis politik, penyertaan Moussa terbabit dilihat tidak akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap Abdel Fattah yang turut menerima sokongan padu anggota parlimen.

Dalam undian di Parlimen, Abdel Fattah menerima 549 undian berbalas 20 memihak Moussa.

"Seperti yang diketahui umum, Moussa Mostafa Moussa adalah penyokong kuat Presiden Abdel Fattah el-Sisi.

"Malah dia turut menggunakan potret Abdel Fattah dalam akaun media sodialnya dan terang-terangan menyatakan sokongannya terhadap Abdel Fattah," jelas penganalisis politik Emad Al Azraq.

Kempen Pilihan Raya Presiden akan diadakan bermula 22 Februari manakala pilihan raya diadakan pada 26 hingga 28 Mac 2018.