Abe Shinzo mencipta sejarah sebagai perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat selepas memegang jawatan itu genap 2,887 hari pada Rabu.

Bercakap kepada media di pejabatnya di sini, Abe berkata beliau sentiasa sedar yang beliau "berada dalam situasi yang rapuh" dan pada masa yang sama memikul tanggungjawab berat menjalankan tugas sebagai pemimpin Jepun.

Dan beliau telah berikrar untuk "bekerja dengan sepenuh jiwa raga untuk menjayakan dasar-dasar dan pada masa yang sama tidak melupakan niat asal saya

Abe berkata beliau berusaha melakukan yang terbaik setiap hari bagi menstabilkan politik dalam negara dan ini telah membawanya lebih dekat untuk mencapai jangka hayat lebih lama dalam memegang jawatannya dalam sebuah negara yang terkenal dengan pucuk pimpinannya yang kerap bertukar.

Ditanya dasar apa yang beliau beri perhatian untuk kepentingan di masa depan, perdana menteri itu berkata keutamaan beliau adalah untuk menangani deflasi, kadar kelahiran di Jepun yang menurun dan populasi tua.

Beliau turut menyebut beberapa isu penting seperti mencapai penyelesaian muktamad bagi diplomasi pascaperang Jepun dan menyemak semula Perlembagaan.

BACA: Shinzo Abe atau Abe Shinzo? Jepun meminta media sedunia tulis begini...

Setiausaha Agung parti pemerintah Parti Demokratik Liberal, Toshihiro Nikai, memuji Abe yang berjaya merekodkan tempoh khidmat selama itu, menyatakan perdana menteri itu telah menerajui kepimpinan dengan berusaha keras untuk mengotakan apa yang dijanjikan.

"Orang ramai berasa selamat dan percaya dengan personaliti perdana menteri ," katanya.

Sementara itu, akhbar berbahasa Inggeris The Japan News dalam ruang pengarangnya hari ini berkata Abe tidak sepatutnya membiarkan pentadbirannya menjadi membosankan akibat daripada tempoh khidmatnya yang lama dan sebaliknya patut mengemudi kerajaan pimpinannya dengan mencerminkan kedudukan semasa beliau.

Sejak beliau berkuasa pada 2012, Abe telah melaksanakan pakej dasar ekonomi dikenali Abenomics dan mengambil tindakan berani melaksanakan fiskal fleksibel dan menurunkan dasar monetari, Kabinet beliau telah membantu ekonomi kembali pulih, tulis akhbar itu.

Kejayaan lain dicatatkan Abe yang turut mendapat pujian termasuk undang-undang berkaitan keselamatan yang diluluskan pada 2015 yang membolehkan Jepun melaksanakan haknya untuk pertahanan diri kolektif secara terhad, meningkatkan kerjasama Jepun-AS serta memperkukuh hubungan dengan Presiden AS Donald Trump.

-- BERNAMA