Guru agama radikal Abu Bakar Bashir, 80, dijangka dibebaskan dengan pelepasan parol iaitu pembebasan bersyarat dalam masa beberapa hari lagi.

Abu Bakar yang terlibat sebagai perancang dalam pengeboman Bali pada tahun 2002 sedang menjalani hukuman penjara memasuki tahun kesembilan daripada 15 tahun hukuman yang dikenakan ke atasnya.

Menurut peguamnya, Muhammad Mahendradatta keputusan untuk membebaskan Abu Bakar dibuat atas dasar kemanusiaan.

Abu Bakar merupakan pengasas dan ketua fahaman Jemaah Islamiyah yang bertanggungjawab atas beberapa siri serangan di Indonesia termasuk pengeboman di Bali yang membunuh 202 orang.

 TUGU yang dibina di pulau peranginan Bali sebagai monumen peringatan pembunuhan 202 orang dalam tragedi pengeboman yang didakwa dilakukan Abu Bakar Bashir. - Gambar fail


Menurut laporan ABC Australia, Abu Bakar turut menyatakan sokongan kepada Kumpulan Militan Daish ketika di dalam penjara pada 2014.

Abu Bakar didapati bersalah atas peranannya dalam mewujudkan kem latihan para-militari di Aceh yang ahlinya didakwa merancang membunuh president dan menggangu ekonomi Indonesia.

Undang-undang Indonesia membolehkan pesalah menjalani parol selepas menjalankan dua pertiga daripada hukuman mereka.