Kementerian Pengangkutan Indonesia pada Khamis menutup semula Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok akibat kesan abu Gunung Agung, gunung berapi di pulau Bali, kata seorang pegawai kanan kerajaan, lapor agensi China Xinhua.

Penutupan bermula pukul 10.37 pagi waktu tempatan sehingga 12 tengah malam, menurut Ketua Direktorat Kementerian Pengangkutan Udara.

Kenyataan mendedahkan, penyebaran abu gunung berapi menuju ke selatan dan tenggara kawasan di mana lapangan terbang itu terletak.

Sebelum ini, pihak berkuasa menutup lapangan terbang berkenaan pada Isnin dan membukanya semula sehari selepas itu.

Semasa letusan, kerajaan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok sebagai alternatif kepada Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali, yang tidak dapat menyediakan perkhidmatan penerbangan.

Pihak berkuasa penerbangan sebelum ini, menurunkan tahap amaran penerbangan. Bagaimanapun, Gunung Agung di kabupaten Karangasem masih berada pada tahap paling tinggi.

Lebih 1,500 orang terbunuh dalam letusan terakhir gunung berapi itu pada 1963. Gunung Agung satu daripada lebih 100 gunung berapi aktif di kepulauan tersebut.

-- BERNAMA