Wilayah Aceh di Indonesia mewajibkan semua pramugari Islam yang melakukan penerbangan ke rantau itu untuk memakai tudung kepala atau berdepan hukuman oleh polis agama tempatan.

Di wilayah yang terletak di pulau Sumatera itu, wanita Islam diwajibkan memakai tudung yang menepati syariat Islam, sementara wanita bukan Islam boleh memilih untuk memakai pakaian yang sopan.

Bagaimanapun, sesetengah anak kapal beragama Islam yang biasanya tidak bertudung sering tidak mempedulikan peraturan yang dikenakan terhadap orang tempatan itu.

Ini menyebabkan pihak berkuasa Aceh terpaksa membuat peraturan baru, kata Mawardy Ali, ketua daerah Aceh Besar.

"Saya harap syarikat penerbangan menghormati keunikan Aceh di mana syariah Islam dilaksanakan," katanya pada Selasa (30 Jan).

Tambahnya, beliau akan menemui wakil syarikat-syarikat penerbangan yang terkesan dengan peraturan itu dalam minggu ini.

"Kami mengeluarkan peraturan ini kepada syarikat-syarikat penerbangan sepanjang minggu ini. Selepas ini, kami akan bercakap mengenai hukuman pula, jika didapati ada yang melanggar peraturan," kata Mawardy.

"Jika anak kapal (Islam) gagal mematuhinya, kami akan memberi teguran. Jika dia mengulangi kesalahan serupa, saya akan memerintahkan polis syariah menangkapnya."

Beliau tidak menyatakan bentuk hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang enggan patuh tetapi menambah, tindakan yang diambil tidak termasuk sebat di khalayak ramai.

Sebatan di khalayak merupakan hukuman yang biasa dilaksanakan di Aceh untuk pelbagai jenis jenayah termasuk menjual alkohol dan mengamalkan hubungan sejenis.

Umat Islam di wilayah lain di Indonesia secara umumnya mengamalkan Islam yang sederhana di mana wanitanya bebas memilih sama ada untuk bertudung kepala atau tidak.

Undang-undang Islam hanya dilaksanakan di Aceh, setelah wilayah itu memenangi autonomi khas pada 2001.