Tutup

Berita  | Dunia

Adakah sampai waktu, kita ucap selamat tinggal pada terumbu karang Great Barrier Reef?

Adakah sampai waktu, kita ucap selamat tinggal pada terumbu karang Great Barrier Reef?
Seorang pelancong duduk di atas timbunan karang yang kering di pantai dekat Lady Elliot Island Eco Resort, Queensland. Australia. - Reuters
SYDNEY: Perubahan iklim, pernangkapan ikan yang berlebihan dan pembukaan kawasan baru untuk manusia – semua itu menyumbang kepada merosotnya keadaan terumbu karang Great Barrier Reef di Australia.

Memang mendukacitakan. Namun situasi kini, menurut agensi pemantau, meletakkan status destinasi yang dahulunya antara keajaiban dunia itu ke paras paling buruk sekali gus boleh menjejaskan status Tapak Warisan Dunia yang dimilikinya.

Pihak berkuasa yang memantau perkembangan lokasi terancam itu, Great Barrier Reef Marine Park Authority (GBRMPA), berkata tahap kesihatan sistem terumbu karang terbesar dunia itu, semakin teruk sejak penilaian terakhir pada tahun 2014.

Bagaimanapun, menurut laporan Reuters, masih ada sekelumit harapan kerana masalah yang dihadapi di terumbu karang itu sebenarnya tidaklah terlalu hebat hingga tidak dapat diatasi.

"Laporan ini menarik perhatian pada fakta bahawa rupa terumbu karang itu dalam tempoh masa yang panjang, merosot kerana dipacu faktor perubahan iklim.
"Meskipun begitu, dengan gabungan tindakan peringkat tempatan untuk memperbaiki sistem dan langkah masyarakat global untuk menangani perubahan iklim dengan cara paling pantas, kita boleh mengubahnya,” kata Ketua Saintis  GBRMPA David Wachenfeld.



Laporan yang dihasilkan setiap lima tahun itu, antara lain merekodkan tentang masalah pemutihan karang, kehilangan habitat dan kemerosotan akibat perubahan iklim yang dicetus manusia, selain aktiviti perikanan yang melampau, kualiti air yang teruk serta penerokaan manusia di tanah pesisiran pantai.

Terumbu karang itu terhampar di kawasan sepanjang lebih 2,300 kilometer dan merupakan rumah kepada 400 jenis karang, 1,500 spesies ikan dan 4,000 jenis moluska.

Sebahagian daripada terumbu itu dalam keadaan baik namun banyak spesies termasuk lumba-lumba, dugong, jerung, ikan pari dan penyu semakin terancam.
Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO pada tahun lalu merayu tindakan antarabangsa untuk menangani masalah perubahan iklim seterusnya melindungi lima terumbu karang terbesar dunia, termasuk Great Barrier Reef.

Pemusnahan terumbu karang antara lain disebabkan aktiviti manusia yang mencetus perubahan iklim. - Reuters

Penyenaraian terumbu karang itu dalam senarai bahaya akan memalukan kerajaan dan menjejaskan industri pelancongan.

Ketua UNESCO bagi rantau Asia dan Pasifik, Feng Jing, berkata organisasi itu memantau secara dekat keadaan terumbu dan kemajuan yang dibuat dalam usaha melindunginya.

"Kami berharap usaha kolektif yang diambil pihak pemerintah Australia akan membawa perubahan yang diperlukan untuk memastikan konservasi yang lestari ke atas Great Barrier Reef,” ujarnya.

BACA: Separuh daripada terumbu karang Great Barrier 'sudah mati atau hampir mati' - Saintis

BACA: Masalah pemutihan karang di Great Barrier Reef di tahap serius



Tag: terumbu karang, alam sekitar, bencana alam, hidupan marin, great barrier reef, australia, habitat haiwan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.