Anggota Parlimen Britain dari Parti Buruh, Jo Cox yang sebelum ini kritikal selepas diserang dan ditikam seorang lelaki meninggal dunia.

Cox, 41 tahun dan mempunyai dua orang anak ditembak dan ditikam seorang lelaki di luar perpustakaan Birstall ketika mahu menghadiri satu mesyuarat.

Serentak kematian Cox, bendera Britain di bangunan kerajaan dikibar separuh tiang bagi menghormati mendiang.

Polis West Yorkshire, Dee Collins, memaklumkan kejadian berlaku pada 1 tengah hari waktu tempatan dan Cox disahkan meninggal dunia tidak sampai sejam selepas dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Majoriti Ahli Parlimen dan ahli politik termasuk Perdana Menteri David Cameron, Jeremy Corbyn dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry memberi penghormatan kepada Cox dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya.

Di laman media sosial termasuk Twitter turut dibanjiri ucapan takziah dan perkongsian rasa sedih dengan kematian Cox.

Jadual kempen pungutan suara Brexit yang sepatutnya dihadiri Cox dan pemimpin Parti Buruh lain digantung sementara susulan kematian pemimpin wanita berkenaan.

Sementara itu, polis West Yorkshire mengesahkan menahan suspek berusia 52 tahun susulan insiden tembakan ke atas mendiang.

Laporan BBC News menyebut, lelaki berkenaan, seorang warga tempatan yang dikenali Tommy Mair dilaporkan turut mengalami kecederaan ringan.

Seorang saksi memberitahu, penyerang menjerit ke arah mangsa dengan kata-kata "pentingkan Britain dahulu" sebanyak dua kali sebelum bertindak menembak dan menikam mangsa.

"Saya berada di kafe bersebelahan semasa secara tiba-tiba terdengar jeritan dan tembakan. Saya keluar untuk meninjau dan terlihat seorang lelaki tegap dan seorang lagi lelaki yang memakai topi. Mereka cuba menguasai keadaan dan seorang lelaki yang memakai topeng secara tiba-tiba mengeluarkan pistol daripada begnya,'' menurut Hithem Ben Abdallah kepada BBC News.

Sementara itu, suami Cox, Brendan berkata, mendiang mahu rakyat bersatu memerangi jenayah kebencian yang menjadi penyebab pembunuhannya.

Cox, graduan Universiti Cambridge pernah betugas sebagai pekerja bantuan sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Batley dan Spen pada 2015.

Beliau cukup dikenali sebagai pejuang hak wanita dan aktif dalam beberapa kerja amal.

Cox merupakan Ahli Parlimen pertama yang masih dalam perkhidmatan yang dibunuh sejak 1990.

Kali terakhir ahli politik mati itembak ialah Ian Gow, selepas nyawanya berakhir di tangan kumpulan pengganas Ireland Utara.