Seorang ahli silap mata India yang cuba membuat persembahan di hadapan penonton di cabang Sungai Gangga pada Ahad betul-betul meninggalkan debaran dan kejutan.

Chanchal Lahiri, yang cuba meniru aksi melepaskan diri ala Harry Houdini, dikhuatiri mati lemas di sungai itu ketika cuba melakukan aksi lagak ngeri di dalam air.

Houdini merupakan ahli silap mata dan pelagak ngeri legenda kelahiran Hungary yang terkenal dengan aksi membebaskan diri daripada situasi mencemaskan.

Portal berita NDTV yang memetik kata saksi, melaporkan Lahiri pada awal persembahan memasuki sungai itu di Jambatan Howrah dengan keadaan anggota tubuhnya diikat dan dibelenggu.

Namun, penonton mula resah apabila Lahiri terus hilang dan tidak muncul di permukaan dalam tempoh masa yang agak lama.

Pihak polis dan pasukan pengurusan bencana telah memulakan operasi mencari dan menyelamat ahli silap mata itu.

"Kami cuba untuk mengenal pasti kedudukannya, Namun, dipercayai arus sungai sudah menghanyutkannya. Para penyelam kami sudah menyelam ke paras yang dalam, namun tidak menemuinya,” ujar seorang pegawai polis kanan.

Pencarian pada Ahad yang terhenti kerana keadaan yang gelap diteruskan pada hari ini (Isnin).

Lahiri, menurut polis, sudah mendapatkan permit daripada pihak berkuasa untuk melakukan aksi tersebut, bagaimanapun pasukan persembahan didakwa tidak mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya.

"Persembahan magis yang hendak dilakukan Lahiri sangat berisiko dan rumit,” ujarnya lagi.

Dalam persembahan itu, Lahiri bukan sahaja menutup matanya, malah kaki dan tangannya diikat. Dia kemudiannya diangkat menggunakan kren sebelum diturunkan ke dalam sungai.

Dia sepatutnya melepaskan ikatan dan belenggu pada tubuhnya di dalam air dan muncul di permukaan sungai untuk mengejutkan khalayak.

Orang ramai yang menonton aksi itu pada mulanya bersorak, namun keadaan menjadi resah dan bertukar panik apabila Lahiri tidak timbul ke permukaan lebih daripada 10 minit.