Majlis Hakim Mahkamah Negeri (PN) Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas artis terkenal, Ahmad Dhani, lapor media Indonesia.

Ketua majlis berkenaan. Ratmoho menjatuhkan hukuman tersebut ekoran tiga entri Ahmad Dhani di laman Twitter yang berbaur hasutan dan membangkitkan rasa kebencian terhadap individu dan kumpulan.

Serentak itu, Majlis Hakim memerintahkan Ahmad Dhani yang juga pengasas dan ketua Kumpulan Dewa 19 ditahan.

Ahmad Dhani dan Dewa 19 bakal mengadakan konsert reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 Februari (Sabtu) ini.

Dalam satu kenyataan, penganjur NIZRA Production mengesahkan 'Konsert DEWA19 Reunion Live in Malaysia feat.Ari Lasso & Once Mekel' tetap diteruskan biar pun Ahmad Dhani berdepan hukuman penjara.

Menurut Pengarah Urusan NIZRA Production Nik Iruwan tiada sebarang penundaan atau pembatalan konsert seperti digembar-gemburkan.

"Kami berharap peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu risau kerana konsert tersebut akan tetap berlangsung dan DEWA 19 akan memberi persembahan terbaik buat semua," katanya.