Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Aidilfitri yang luar biasa di Indonesia

Aidilfitri yang luar biasa di Indonesia
Umat Islam di Indonesia dilarang mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid, tidak menganjurkan rumah terbuka, balik kampung dan melakukan aktiviti kunjung-mengunjung. - Foto Reuters
JAKARTA: Sambutan Aidilfitri di Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia, diraikan secara "luar biasa" hari ini dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Umat Islam di Indonesia dilarang mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid, tidak menganjurkan rumah terbuka, balik kampung dan melakukan aktiviti kunjung-mengunjung.
Hanya empat tempat yang dinyatakan sebagai kawasan terkawal dari pandemik itu iaitu Kota Bekasi (Jawa Barat), Kota Dumai (provinsi Riau di Sumatera), Kabupaten Natuna (Kepulauan Riau) dan Kabupaten Gorontalo Utara (Sulawesi Utara), dibenarkan mengadakan solat Aidilfitri, dengan prosedur ketat penjarakan sosial.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan, menerusi catatan di laman Facebooknya berkata sambutan Aidilfitri di luar kebiasaan ini adalah satu catatan sejarah yang pastinya abadi dan memberi kesan kepada semua pihak.
"Menjelang pagi, kami siap-siap melaksanakan solat sunat Aidilfitri. Anak saya mempersiapkan kamera video dengan tripod - momen ini sejarah penting yang perlu diabadikan. Sunyi dan cemas," tulisnya di laman Facebook.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan terdapat masjid di Indonesia termasuk di Jakarta melaksanakan solat Aidilfitri dan dihadiri ramai jemaah yang mencetuskan kebimbangan berlakunya kluster baharu virus itu.

Setakat semalam, kes positif COVID-19 di Indonesia meningkat kepada 21,745 kes, dengan kematian berjumlah 1,351 orang.

Pemerintah Indonesia juga melaksanakan perintah Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) sejak Mac lepas, bagi menangani penularan virus itu.

Majlis Ulama Indonesia sebelum ini turut mengeluarkan fatwa membolehkan umat Islam melaksanakan solat Aidilfitri di rumah.

Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan isterinya Iriana Jokowi, menerusi video yang disiarkan di YouTube rasmi Sekretariat Presiden, menunaikan solat Aidilfitri di perkarangan Istana Presiden di Bogor bersama beberapa petugas istana.

Jurucakap Presiden Indonesia, Fadjroel Rachman dalam satu kenyataan berkata Presiden Jokowi juga mengarahkan menteri kabinet dan semua kementerian serta agensi berkaitan pemerintah, tidak mengadakan majlis rumah terbuka.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga tidak mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid di kedutaan, serta tidak mengadakan majlis hari raya atau rumah terbuka seperti kelazimannya sebelum ini.

-- BERNAMA


Tag: Joko Widodo, Facebook, YouTube, Islam, presiden, Aidilfitri, video, koronavirus, Malaysia, Jakarta, Indonesia, kabinet, fatwa



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.