Seorang warga emas yang ketagih bermain Pokemon Go sanggup memasang 11 telefon pintar pada basikalnya bagi menangkap ratusan raksasa digital setiap hari.

Chen San-yuan, 70, mampu bermain Pokemon Go sehingga 20 jam tanpa henti menggunakan 11 telefon dan sembilan ‘power bank’ yang dibawanya.

Malah dia berharap dapat menambah empat lagi telefon bimbit untuk memudahkannya bermain.

Daily Mail melaporkan Chen yang membelanjakan sehingga £1,165 (RM6,000) sebulan untuk membeli pelbagai aplikasi berkaitan Pokemon Go, mengayuh basikal di sekitar bandar Taipei kadang kala sehingga jam 4 pagi.

Antara lokasi kegemarannya termasuk sebuah taman yang dilawatinya kira-kira enam kali seminggu.

Dia diberi jolokan ‘Pakcik Pokemon’ tetapi tidak menyedari populariti sendiri sehingga ditemu bual sebuah stesen televisyen tempatan.

Mula meminati permainan itu pada 2016 selepas diajar cucunya, Chen menganggapnya cara terbaik mengelak Alzheimer selain dapat berinteraksi dengan pemain lain. - Agensi