BERIBU-RIBU penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan perlindungan kecemasan susulan gunung berapi Mayon di wilayah Albay, Filipina yang kembali aktif.

Pemindahan penduduk terpaksa dilakukan segera kerana letusan berbahaya dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Tahap amaran di sekitar kawasan gunung tersebut juga telah dinaikkan kepada kritikal selepas ia memuntahkan abu beribu-ribu meter ke udara.

Letusan pertama direkodkan berlaku pada jam 5 petang waktu tempatan 13 Januari lepas.

Pada letusan pertama itu, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina mencatatkan gunung berapi tersebut telah memuntahkan abu setinggi 2,500 meter ke udara.

Sejurus kemudian, dua lagi letusan direkodkan dan penduduk kawasan sekitar mendakwa mereka terhidu bau sulfur susulan letusan.

Menerusi satu kenyataan, institut berkenaan turut melaporkan Gunung Mayon menunjukkan tahap letusan yang agak tinggi dan berkemungkinan akan meletus dalam jangka masa beberapa minggu atau dalam masa beberapa hari mendatang.

Penduduk sekitar diarah memakai topeng muka agar tidak menyedut abu gunung berapi tersebut.

Pihak berkuasa juga mencadangkan agar radius kawasan zon bahaya sebanyak 7 kilometer dikuatkuasakan segera.

Kali terakhir gunung Mayon meletus ialah pada 2014 dengan aliran lava yang banyak memaksa penduduk sekitar untuk berpindah.