Amerika Syarikat telah bersetuju untuk meneruskan penjualan sehingga 12 buah pesawat pejuang F-35B kepada Singapura sementara menunggu kelulusan Kongres negara itu.

Lapor agensi berita CNA, perkara itu dimaklumkan Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Khamis lalu (Jan 9).

Permohonan Singapura sebelum ini untuk membeli empat pesawat terbabit dengan pilihan untuk membeli lapan unit lagi dengan anggaran harga AS2.75 bilion (RM11.21 bilion) telah diluluskan Jabatan Negara Amerika Syarikat, dan Kongres telah dimaklumkan mengenainya.

Varian B pesawat pejuang F-35 itu yang dinamakan Lockheed Martin F-35B Lightning II stealth fighters, adalah dari versi lebih sofistikated, yang mampu berlepas pada jarak yang lebih pendek dan mendarat secara vertikal.

“Cadangan penjualan ini adalah selaras dengan polisi luar negara dan keselamatan negara Amerika Syarikat,” menurut kenyataan agensi itu lagi.

“Singapura adalah rakan strategik dan kerjasama keselamatan yang penting demi kestabilan politik dan pembangunan ekonomi di rantau Asia Pasifik.”

Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen pada Januari tahun lalu mengumumkan hasrat untuk menambah pesawat pejuang F-35 ke dalam barisan pertahanan republik itu dan sebagai pengganti kepada pesawat F-16 yang sudah usang.