Sidang kemuncak G20 yang sedang berlangsung di Osaka, Jepun sekarang akhirnya mencapai matlamat utamanya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan rakan sejawatannya Xi Jinping setuju menghentikan sementara perang perdagangan di antara dua negara mereka.

Ini merupakan antara isu yang paling diperhati rapat dunia pada sidang kemuncak 20 negara itu.

Susulan ini, Amerika dan China tidak akan mengenakan tarif baru ke atas barangan buatan masing-masing.

Sejak tahun lalu, Amerika telah mengenakan tarif (cukai import) ke atas barangan dari China bernilai AS$250 bilion.

Manakala China mengambil tindakan yang sama terhadap barangan import dari Amerika bernilai AS$110 bilion.

Tarif ini melonjakkan kos eksport barangan bagi syarikat Amerika dan China, sekali gus memberi tekanan kewangan kepada mereka, di samping mungkin menolak naik harga barang bagi pengguna.

Kali terakhir Trump dan Xi bertemu di G20 di Argentina tahun lepas, mereka setuju untuk meletakkan ‘gencatan’ ke atas perang perdagangan mereka bagi merunding penyelesaian.

Bagaimanapun, rundingan tersebut gagal mencapai penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak.

Ekoran dominasi dua ekonomi terbesar dunia ini dalam sistem bekalan dan ekonomi global, perang perdagangan dilihat beri kesan kelembapan ekonomi dunia sejak setahun lepas.

Menurut Bloomberg, keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia mungkin susut sehingga AS$1.2 trilion sekiranya Amerika dan China terus mengenakan tarif tambahan ke atas barangan eksport masing-masing.

Bloomberg menganggarkan perang perdagangan yang berlaku setakat ini menyebabkan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat menyusut AS$185 juta dari suku pertama 2018 ke suku pertama tahun berikutnya.

Tambahnya, sehingga 0.8 peratus daripada KDNK Malaysia terdedah kepada perang perdagangan ini.

Kesan langsung ‘perang’ ini terhadap ekonomi Malaysia masih kurang jelas.

Bagaimanapun dari sudut logik ekonomi, antara kemungkinan impaknya kepada negara adalah peningkatan kos operasi syarikat tempatan yang terdedah dengan pasaran China atau Amerika.

Peningkatan kos ini kemudiannya dikhuatiri akan menolak naik harga barang kepada rakyat biasa.

Malah, ‘perang’ ini telah membuktikan ia juga berupaya mempengaruhi aspek lain kehidupan.
Sebagai contoh, beberapa isu yang timbul bagi pengguna telefon pintar Huawei setelah Amerika meletakkan sekatan ke atas syarikat itu baru-baru ini, sebagai sebahagian langkahnya dalam ‘perang’ ini.

Sebelum ini, Trump berkata sekiranya perbincangan dengan Xi di G20 tidak membuahkan hasil, Amerika tidak teragak-agak untuk mengenakan tambahan tarif ke atas barangan China bernilai USD300 bilion lagi.

Menurut Bloomberg, keseluruhan KDNK dunia mungkin susut sehingga USD1.2 trilion sekiranya ini terjadi.