Polis Filipina boleh berdepan dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan apabila membunuh ribuan orang yang disyaki melakukan kesalahan dadah, atau membayar pihak lain untuk melakukan pembunuhan itu sebagai sebahagian daripada perang dadah Presiden Rodrigo Duterte.

Perkara itu dimaklumkan organisasi pemantau hak asasi manusia Amnesty International pada Rabu, lapor AFP.

Sebuah laporan daripada Amnesty hasil siasatan mendalam terhadap gerakan memerangi dadah itu, menggariskan banyak insiden salah laku dan jenayah polis selain pembunuhan tanpa perbicaraan yang dikatakan menjadikan komuniti miskin sebagai sasaran.

“Bertindak atas arahan pihak tertinggi, anggota polis dan pembunuh yang tidak diketahui identitinya telah menyasarkan sesiapa sahaja yang disyaki menjual dadah.

“Siasatan kami menunjukkan gelombang pembunuhan tanpa perbicaraan itu semakin berleluasa, dan dilakukan secara sengaja dan sistematik, sekali gus mengesahkan perbuatan jenayah kemanusiaan,” kata penasihat krisis kanan Amnesty, Rawya Rageh.

Antara perlakuan yang didakwa Amnesty adalah - polis menembak mati orang yang tidak dapat mempertahankan diri, membuat pembuktian palsu, membayar pembunuh upahan untuk menamatkan riwayat penagih dadah, dan mencuri daripada orang yang telah dibunuh serta keluarga mangsa.

Laporan itu juga menyatakan polis dibayar oleh pihak atasan untuk membunuh, selain mendokumenkan salah satu mangsa bunuh yang hanya berusia lapan tahun.

“Pasukan polis kini bertindak seperti geng penjenayah kongsi gelap sedangkan jenayah seumpama itulah yang sepatutnya mereka banteras,” dakwa laporan itu.

Duterte memenangi pilihan raya presiden tahun lalu selepas kempennya berjanji untuk menghapuskan masalah dadah dalam masyarakat dalam tempoh enam bulan dengan membunuh puluhan ribu orang.

Dalam sebuah majlis, Duterte malah berikrar, 100,000 orang akan dibunuh dan mayat-mayat mereka akan dihumban ke Teluk Manila 'untuk dimakan ikan-ikan'.