INTERNATIONAL
Amuk askar Thailand: Anggota pasukan keselamatan terbunuh ketika serbuan

Seorang anggota pasukan keselamatan Thailand diusung keluar daripada pusat beli-belah Terminal 21 selepas serbuan yang dilakukan. - Reuters
Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dan 31 cedera susulan insiden tembakan rambang ke arah orang ramai yang dilakukan oleh seorang anggota tentera yan dipercayai mengamuk di Nakhon Ratchasima, di timur laut Thailand.
Memetik laporan Aljazeera, seorang anggota pasukan keselamatan menjadi mangsa terbaharu pada pagi Ahad dalam serbuan di pusat beli-belah Terminal 21 yang merupakan lokasi di mana suspek, Sarjan Mejar Jakraphanth Thomma bersembunyi.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai mangsa yang terbaharu itu.
Jakraphanth difahamkan bersembunyi di tingkat bawah tanah pusat beli-belah tersebut dan tidak mempunyai tebusan.
"Suspek masih berada di tingkat bawah tanah dan dia tidak mempunyai orang tebusan.
"Kami semakin hampir dengan lokasi suspek," kata seorang pegawai polis yang tidak mendedahkan namanya.
Pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan jika terdapat orang awam yang masih berada di dalam pusat beli-belah berkenaan, lapor Reuters.
Setakat ini, sembilan orang awam telah dibawa keluar.
Jakrapanth menyerang dan membunuh pegawai pemerintahnya serta dua yang lain di Kem Tentera Surathampithak sebelum bertindak melarikan senjata dan peluru daripada kem tersebut.

Pihak polis Thailand mengeluarkan poster dengan wajah suspek dan memohon kerjasama daripada orang awam supaya menghubungi pihak polis jika mempunyai sebarang maklumat.
Dia telah melepaskan berdas-das tembakan rambang ke arah orang awam semasa memandu kenderaan dari kem tentera itu ke pusat membeli-belah Terminal 21, di mana dia dipercayai menyembunyikan diri.
Dia juga melakukan penstriman secara langsung berkaitan serangan itu di Facebook dan memuat naik swafotonya yang sedang memegang selaras raifal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami