Canselor Jerman, Angela Merkel dilihat berada dalam keadaan tidak stabil semasa menyambut kunjungan Presiden Ukraine baharu, Volodymyr Zelensky, di Berlin pada Selasa.

Menerusi rakaman sebuah video, badan Merkel kelihatan menggigil kuat ketika berdiri di sebelah Zelensky di bawah cuaca terik.

Pemimpin wanita berusia 64 tahun itu juga dilihat menggigit bibirnya dipercayai cuba mengawal badannya daripada terus menggigil.

Difahamkan, ketika kejadian kedua-dua pemimpin itu sedang memberi penghormatan kepada lagu kebangsaan negara masing-masing.




Media Jerman melaporkan pertemuan Merkel dan Zelensky diadakan pada siang di mana cuaca pada ketika itu sangat terik.

Dilaporkan, suhu di ibu kota Jerman mencecah hampir 30 darjah Celsius.

Bagaimanapun, ketika sidang media, Merkel memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau dalam keadaan sihat.

Sementara itu, agensi berita DPA melaporkan ia bukan kejadian pertama di mana badan Merkel dilihat menggeletar ketika berada di bawah matahari panas

Keadaan itu dipercayai berlaku kerana Merkel tidak minum air yang mencukupi.