Berita  | Dunia

Anggota bomba Amerika Syarikat maut, pesawat padam kebakaran Australia terhempas

Anggota bomba Amerika Syarikat maut, pesawat padam kebakaran Australia terhempas
Seorang wartawan televisyen berdiri di hadapan kapal tangki udara, Hercules C-130 yang sedang menurunkan alat pemadam kebakaran seberat kira-kira 15,000 liter di Australia. - Gambar fail REUTERS
MELBOURNE: Tiga anggota bomba warga Amerika Syarikat maut selepas pesawat menyimbah air Hercules C-130 dinaiki mereka terhempas sewaktu kerja-kerja memadam kebakaran hutan di kawasan pergunungan Australia, hari ini.

Pihak berkuasa berkata, pesawat terbabit adalah milik Kanada dan mereka masih belum mengetahui punca pesawat terbabit terhempas.

Komisioner Perkhidmatan Kebakaran Luar Bandar bagi New South Wales, Shane Fitzsimmons berkata, pesawat itu terhempas dengan kuat ke darat sehingga menyebabkan kepulan api yang besar di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun tiada petunjuk punca kejadian namun kemalangan yang berlaku di kawasan Snowy Monaro itu agak tragik apabila tiada seorang pun terselamat," katanya.

Menurut Fitzsimmons, pesawat itu telah disewa oleh syarikat penerbangan udara Kanada, Coulson dan telah digunakan sebanyak dua kali dalam operasi memadam kebakaran hutan di Australia.

Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia telah menghantar kumpulan penyiasat ke lokasi kemalangan bagi mengumpul bukti dan akan menganalisa data yang bersesuaian, meneliti maklumat cuaca dan menemubual mana-mana saksi.

"Laporan awal itu hanya akan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari tapi jika terdapat isu keselamatan yang kritikal yang dikenal pasti semasa menyiasat punca kejadian, ia akan segera dimaklumkan kepada pihak berkepentingan yang berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap syarikat Coulson berkata, pesawat malang itu sedang menjalankan misi memadam kebakaran dengan menggunakan kaedah 'water bombing' dan turut membawa peralatan mengawal kebakaran.

"Kemalangan ini dilaporkan secara meluas dan kami dengan cukup sedih mengesahkan terdapat tiga mayat akibat kejadian ini," katanya syarikat itu akan membantu operasi kecemasan di kawasan kejadian.

Berdasarkan data penerbangan, pesawat itu hilang daripada radar selepas pukul 2 petang.

Kebiasaannya pesawat yang membawa muatan sebanyak 15,000 liter air dan alat pemadam kebakaran akan dilepaskan ke arah kawasan kebakaran.


Tag: Australia, kemalangan, maut, kebakaran, operasi, Amerika Syarikat, hilang, bomba, pesawat, mayat, keselamatan, terhempas, penerbangan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.