Anggota polis dan tentera di Mexico kerap melakukan penyeksaan dan penganiayaan ke atas wanita, termasuk menggunakan keganasan seksual sewaktu penahanan dan soal siasat, lapor Amnesty International dalam sebuah laporan yang dikeluarkan pada Selasa.

Kumpulan pejuang hak asasi itu telah menemu bual 100 wanita yang mengadu tentang keganasan semasa mereka ditahan, dan kesemuanya mengakui menjadi mangsa penderaan seksual atau penganiayan psikologi, lapor AFP.

Tujuh daripada 10 wanita pula melaporkan keganasan seksual semasa ditahan atau pada jam-jam selepas itu.

Jenis penganiayaan yang dilakukan ke atas wanita-wanita itu termasuk tumbukan di perut dan kepala, ancaman rogol sama ada ke atas mereka atau keluarga mereka, tindakan mencekik, renjatan elektrik ke alat sulit, ramasan dan pemerkosaan.

“Polis menggunakan mereka sebagai sasaran mudah penahanan untuk meningkatkan imej dan menunjukkan orang awam bahawa usaha keselamatan kerajaan berhasil,” ujar Amnesty dalam kenyataan.

Tambah kenyataan itu, golongan wanita yang cenderung diperlakukan sedemikian kebanyakannya wanita muda dan dari latar pendapatan rendah.

“Diskriminasi pelbagai yang dihadapi wanita-wanita ini adalah kerana jantina, umur dan situasi sosio-ekonomi meeka, dan itu meningkatkan risiko mereka ditahan tanpa sebab, diseksa dan sianiaya,” kata kenyataan tersebut.

Laporan itu juga mendapati ramai wanita yang ditahan dan dipenjarakan adalah ibu tunggal dan berdepan diskriminasi hanya kerana status mereka tidak diterima, iaitu tanpa ada pasangan lelaki.

Golongan pekerja seks, biseksual dan lesbian di Mexico juga berisiko dilayan secara teruk sewaktu ditangkap atau dalam tahanan, kata laporan itu.