ANGIN kencang yang menyebabkan kebakaran ketiga terbesar dalam sejarah California dijangka 'menyemarakkan' lagi api pada Ahad yang kini telah memusnahkan kawasan hampir 110,000 hektar.

Kira-kira 8,500 anggota bomba dan penyelamat dikerah bagi mengawal api tersebut yang digelar ‘Thomas Fire’ di selatan California yang bermula pada 4 Disember lalu.

Setakat ini lebih daripada 1,000 bangunan musnah dalam kejadian tersebut dengan 18,000 lagi dalam keadaan bahaya termasuk di bandar Montecito berdekatan dengan bandar tepi pantai Santa Barbara.

Keadaan diramal akan bertambah baik pada Ahad di Santa Barbara dengan kelajuan angin 90 kilometer (km) sejam di beberapa kawasan di Ventura dan Los Angeles, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat.

Kebakaran tersebut, yang berpusat kurang daripada 160 km utara Los Angeles, memaksa beribu penduduk berpindah dan menyebabkan keadaan jerebu yang teruk.

Setakat ini 40 peratus daripada kebakaran itu telah berjaya dipadamkan meskipun keadaan dirumitkan lagi oleh angin panas Santa Ana.

Lebih daripada 970 jentera dan 34 helikopter dikerahkan bagi memadamkan api tersebut.

“Ia sangat besar tapi kami yakin ia akan dapat dipadamkan,” kata Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Santa Barbara, Martin Johnson.

Menurut Jabatan Bomba California, lima daripada 20 kebakaran teruk dalam sejarah telah memusnahkan negeri itu pada 2017.

Kebakaran ‘Thomas Fire’ ini merupakan yang ketujuh terburuk dalam sejarah California dan telah memaksa sekolah ditutup selama beberapa hari, menutup jalan utama ke negeri itu dan menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah.

Keadaan ini juga menyebabkan kualiti udara di seluruh kawasan selatan California menjadi teruk.

Pada Sabtu, penduduk di daerah Santa Barbara diarah berpindah susulan angin kencang dan keadaan kering di kawasan itu.

Di Montecito pula, asap tebal menghalang kapal terbang bomba menjatuhkan pelambat kebakaran. Arahan berpindah yang dikeluarkan ke atas bandar Ventura ditarik balik pada Sabtu.

Anggota bomba California, Cory Iverson, 32, menjadi mangsa pertama kebakaran itu semasa cuba memadamkan api berdekatan daerah Ventura pada Khamis.

Menurut laporan bedah siasat, Iverson maut akibat terhidu asap tebal dan kebakaran yang teruk.