Apabila amarah menguasai diri, seringkali tindakan yang diambil begitu di luar kawalan.

Itu yang berlaku kepada seorang lelaki di Texas, Amerika Syarikat yang bertindak membunuh enam ahli keluarga bekas isterinya.

Ronald Lee Haskell, 39, pada mulanya hanya bercadang menghabiskan nyawa bekas isterinya Melannie Lyon yang meninggalkannya.

Untuk itu, dia mula menghendap Lyon di California dua hari sebelum membuat rancangan untuk membunuhnya.

Namun apabila kelibat Lyon tidak kelihatan, Haskell bertindak membunuh keluarga bekas isterinya itu atas alasan mereka menjadi tali barut kepada perceraiannya dengan bekas isteri.

Mangsa diarah meniarap sebelum ditembak Haskell dari belakang.

Mangsa yang terbunuh termasuk Stephen Stay, 39, dan isterinya Katie, 34, serta anak-anak mereka Zach, 4, Rebecca, 7, Emily, 9, dan Bryan yang berusia 13 tahun.

Katie Stay ialah kakak kepada Melanie Lyon.

Cassidy Stay yang berusia 15 tahun ketika kejadian terselamat dengan berpura-pura mati selepas ditembak di kepala.

Menurut Cassidy, selepas menembak ahli keluarganya, Haskell terus menuju ke rumah ibu dan abang bekas isterinya namun ditahan polis dalam perjalanan ke sana.

Dalam perbicaraan kes itu, Cassidy hadir memberi keterangan terhadap pak ciknya itu.

Dalam penghakiman kes, Haskell kemudian didapati bersalah membunuh enam ahli keluarga bekas isterinya itu, lapor Foxnews.

Hakim akan menentukan tarikh untuk menjatuhkan hukuman, manakala pendakwa raya meminta Haskell dijatuhi hukuman mati.