Tutup

Berita  | Dunia

Apa anda perlu tahu tentang siasatan baharu ke atas Trump

Apa anda perlu tahu tentang siasatan baharu ke atas Trump
Trump ketika menghadiri mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri India Narendra Modi di Perhimpunan Agung PBB di New York, 24 September 2019. REUTERS
SPEAKER Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi pada Selasa mengumumkan akan menubuhkan satu siasatan rasmi ke atas Presiden Donald Trump susulan kontroversi berkomunikasi dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

Siasatan itu, yang semakin banyak mendapat sokongan daripada ahli kongres Parti Demokrat, akan menjadi penentu masa depan Trump sebagai pemimpin White House.
Dakwa Parti Demokrat, Trump boleh dipecat atas sebab telah berkomunikasi dengan Zelensky menerusi panggilan telefon pada 25 Julai lalu.

“Tindakan oleh pentadbiran Trump itu mendedahkan bahawa beliau telah mengkhianati sumpah yang diangkatnya sebagai Presiden, serta keselamatan negara dan integriti pilihan raya,” kata Pelosi dalam satu ucapan ringkas di Capitol.
“Justeru, hari ini, saya umumkan Dewan Perwakilan akan meneruskan dengan siasatan rasmi untuk memecat Presiden.”

Enam ahli Kongres Demokrat akan membentangkan usul mereka dalam masa terdekat dan meneruskan siasatan mereka menerusi satu badan baharu.


Apa tindak balas Trump?


Susulan itu, Trump meluahkan rasa tidak puas hati menerusi Twitter dan menggambarkan siasatan itu sebagai ‘memburu ahli sihir’.

Tambahnya, ia satu cubaan untuk merendahkan dan mencuri perhatian daripada kejayaannya ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.


Trump turut berjanji akan mendedahkan transkrip panggilan telefon itu dalam masa terdekat.


Apa yang dibincangkan bersama Presiden Ukraine?

Pada hujung minggu lalu, Trump mengakui kepada panggilan telefon tersebut yang membincangkan tentang isu rasuah yang berlaku di Amerika, terutamanya yang membabitkan bekas Naib Presiden Joe Biden dan anaknya, Hunter.

“Kami adakan satu perbualan yang hebat,” kata Trump. “Perbualan itu kebanyakannya untuk mengucapkan tahniah, serta mengenai semua rasuah yang berlaku.”

“Terutamanya, kami tidak mahu orang seperti (bekas) Naib Presiden Biden dan anaknya menambah kepada isu rasuah di Ukraine, yang sedia ada terpalit dengan banyak masalah.”

Dakwaan terhadap Biden itu adalah berdasarkan pengalaman anaknya, Hunter Biden ketika memegang jawatan di lembaga sebuah syarikat tenaga Ukraine.

Namun, anggota Parti Demokrat menolak dakwaan itu dan setakat ini masih tiada pengesahan dibuat mengenai sebarang rasuah yang dilakukan oleh bekas Naib Presiden itu.

Biden daripada Parti Demokrat merupakan saingan Trump dalam pilihan raya umum 2020.

Menurut laporan The Wall Street Journal, Trump, menerusi panggilan telefon itu, meminta Zelensky sebanyak lapan kali untuk menyiasat Biden dan apa-apa sebarang kaitannya di Ukraine.

Komunikasi antara Trump dan Zelesnky itu pertama kali dilaporkan oleh pemberi maklumat kepada pihak berkuasa perisikan AS pada minggu lepas.