Baru sahaja seminggu, Donald Trump berperanan sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), pelbagai tindakan telah diambil oleh beliau termasuk menandatangan perintah eksekutif sekatan imigresen.

Berikut adalah apa yang anda perlu tahu berhubung 'sekatan imigresen Trump'.

Tindakan Trump

1. Trump pada Jumaat mengenakan empat bulan sekatan terhadap pelarian yang datang ke Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, beliau berkata, AS akan memberi pengecualian kepada pelarian Syria yang beragama Kristian.

2. Trump turut melarang kemasukan pelancong/pendatang dari tujuh negara Islam selama 90 hari -mengatakan langkah itu bertujuan membantu melindungi rakyat Amerika daripada serangan pengganas.

Negara Islam tersebut ialah Syria, Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.

3. Beberapa penumpang dari Iraq dan Yaman telah dihalang daripada menaiki penerbangan ke New York pada Sabtu selepas sekatan Trump.

Mereka dihalang dan diarahkan menaiki penerbangan ke negara asal mereka walaupun merupakan pemegang visa yang sah.

4. Terkini, seorang hakim persekutuan di Brooklyn, New York pada Sabtu mengeluarkan arahan menangguhkan sekatan kemasukan sementara yang dikenakan kerajaan negara itu terhadap pengunjung dari luar yang telah mendarat di lapangan terbang Amerika Syarikat dengan visa sah.

Reaksi

1. Peguam kepada dua rakyat Iraq yang ditahan di New York pada Sabtu memfailkan tuntutan saman ke atas Trump dan kerajaan AS.

Menurut kenyataan mahkamah, kedua-dua lelaki terbabit secara sah dibenarkan masuk ke AS, namun ditahan susulan arahan eksekutif ditandatangani pada Jumaat.

2. Beratus-ratus orang berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) pada Sabtu bagi membantah sekatan kemasukan pelancong dari beberapa negara Islam.

Penunjuk perasaan didengar melaungkan, "Tiada larangan, tiada tembok, tempat perlindungan untuk semua" dan "tiada benci, tiada ketakutan, pendatang dialu-alukan di sini".

Perhimpunan bantahan ini turut disertai oleh beberapa pertubuhan yang berpangkalan di New York, termasuk Make the Road New York, Jews for Racial and Economic Justice (JFREJ), Black Latino Asian Caucus dan The New York Immigration Coalition.

3. Pengasas Facebook,Mark Zuckerberg turut menyuarakan bantahannya.

"Seperti anda, saya juga bimbang mengenai kesan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Trump baru-baru ini.

"Kita bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara,tetapi kita perlu berbuat demikian dengan memberi tumpuan kepada pihak yang sebenarnya menimbulkan ancaman... Kita juga perlu mengekalkan dasar pintu kita terbuka kepada pelarian dan mereka yang memerlukan bantuan. Itulah siapa kita," tulis Zukerberg di Facebooknya.



4. Ketua Eksekutif Uber, Travis Kalanick menghantar e-mel kepada pasukannya pada petang Sabtu, menyatakan bahawa perintah itu menjejaskan ramai pekerjanya.

Beliau berkata syarikat itu akan memberi pampasan kepada pemandunya yang boleh dihalang daripada memasuki AS untuk 90 hari bagi membantu mengurangkan tekanan kewangan mereka.



5. Selain Facebook dan Uber, syarikat besar seperti Microsoft, Twitter, Google, Netflix turut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap sekatan ini kerana ia memberi kesan kepada warga pekerjanya.

Ketua Eksekutif Twitter, Jack Dorsey:


Ketua Eksekutif Netflix, Reed Hastings:



6. Pengarah filem dari Iran, Asghar Farhadi yang dicalonkan dalam Anugerah Oscar’s berkemungkinan besar tidak dapat menghadiri majlis anugerah Hollywood berprestij itu pada Februari ini susulan sekatan yang dikeluarkan.


7. Airbnb, perkhidmatan alternatif hotel menawarkan rumah percuma untuk pelarian yang tidak dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat.

Perkara ini diumumkan oleh Pengasasnya, Brian Chesky menerusi laman Twitternya.



8. Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau membuka pintu kepada pelarian yang dilarang masuk oleh Amerika Syarikat.