Satu per tiga daripada kawah Gunung Agung di Bali yang berdiameter 900 meter dan kedalaman 200 meter kini bertakung dengan lava.

Penilaian itu didedahkan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia dalam satu kenyataan.

“Anggaran tersebut kami peroleh berdasarkan hasil pemantauan imej satelit dan penilaian data seismik, deformasi dan geokimia,” ujar Ketua Mitigasi PVMBG, I Gede Suantika, seperti yang dilapor agensi berita Antara.

Pemantauan itu antara lain menjelaskan mengenai biasan cahaya merah yang boleh dilihat pada asap yang dimuntahkan gunung berapi tersebut.

Cahaya merah itu adalah kerana terdapat takungan lava di kawah Gunung Agung.

“Ini juga menunjukkan bahawa magma di kawah itu masih sangat panas," kata Gede Suantika.

Menurut maklumat daripada portal MAGMA Indonesia, memandangkan sudah berlaku siri letusan sejak beberapa bulan lalu, maka daya julangan magma Gunung Agung tidak terlalu kuat kerana jalur magma menuju ke permukaan sudah lebih terbuka.

Sebarang pergerakan magmatik ke mulut kawah pula menyebabkan kejadian gempa frekuensi rendah.

Laporan terkini juga menyatakan keadaan asap Gunung Agung sudah berkurangan sedikit. Paras kenaikan asap dan debu setakat ini adalah antara 1,500 hingga 2,000 meter dari puncak kawah.

Meskipun menunjukkan penurunan, kemungkinan letusan seterusnya masih ada

“Gunung Agung masih dalam status awas (Peringkat 4). Maka, tidak boleh ada sebarang aktiviti (manusia) dalam radius lapan kilometer dengan peluasan sektoral 10 kilometer di sebelah utara, timur laut dan tenggara, selatan dan barat daya," jelas Gede Suantika.

"Walaupun sekarang secara relatif menurun, kita masih belum boleh menganggap Gunung Agung sudah mereda sepenuhnya," katanya.

Dari kesemua data yang diperoleh, MAGMA merumuskan bahawa aktiviti pelancongan di Bali masih selamat untuk diteruskan selagi tidak melepasi sempadan zon berbahaya.