Seekor possum yang teruk mengalami kesan lecur akibat kebakaran hutan di Blue Mountain, cuba menjilat air dari sebuah mangkuk sambil didakap dalam bungkusan tuala oleh penyelamatnya, sementara di satu lokasi lain, seekor kanggaru yang berbalut kakinya sedang dibuai oleh penjaga yang lain.

Ketika Australia melawan kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas 4 juta hektar di lima buah negeri, kumpulan sukarelawan sedaya upaya cuba menyelamatkan hidupan liar yang menjadi mangsa dalam kerakusan api.

Kawasan hutan belukar Australia menjadi habitat buat pelbagai haiwan liar yang istimewa buat negara itu seperti kanggaru, koala, wallaby, possum, wombat dan echidna.

Reuters melaporkan, sumber rasmi bimbang 30 peratus daripada satu koloni beruang koala di pesisiran timur laut negara itu, yang mempunyai populasi antara 4,500 dan 8,400, lenyap dalam kebakaran baru-baru ini.

Pihak berkuasa tidak mempunyai angka yang tepat tentang jumlah sebenar haiwan asal yang terkorban, namun pakar berkata kemungkinan besar jumlahnya mencapai bilangan jutaan.



Sukarela Perkhidmatan Maklumat, Kerja Menyelamat dan Pendidikan Hidupan Liar (WIRES), Tracy Burgess, berkata pihaknya berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila mereka tidak menerima jumlah haiwan yang sepatutnya mereka terima.

“Kami tidak menerima jumlah haiwan yang banyak untuk dirawat. Kebimbangan kami adalah haiwan-haiwan itu langsung tidak ada lagi (mati dalam kebakaran),” ujar Burgess sambil mendukung seekor possum yang cedera.

Dengan dana yang terhad, WIRES bergantung sepenuhnya pada sumbangan awam dan pengorbanan sukarelawan seperti Burgess yang menjaga haiwan-haiwan itu di kediaman sendiri.

Possum yang dijaga Burgess ditemui di pekan Clarence di wilayah yang disenaraikan sebagai tapak warisan dunia, Blue Mountain. Ia terletak kira-kira 100 kilometer di barat Sydney.

Seorang lagi penyelamat WIRES, Tarcy Dodd, menjaga seekor kanggaru yang cedera parah. Ia ditemui di kawasan yang sama ketika kebakaran itu menggila hingga memusnahkan beberapa buah rumah.

"Ia duduk di bawah rimbunan belukar dan ibunya tidak berapa jauh darinya. Ia kelihatan lemah untuk bergerak akibat kehilangan banyak cecair dari tubuhnya,” ujar Dodd.

WIRES dan beberapa kumpulan aktivis lain selalunya tidak menggalakkan orang ramai memberi makan sembarangan pada hidupan liar, namun dalam situasi tersebut, peraturan itu diubah dan orang ramai dialu-alukan untuk memberikan makanan dan minuman yang secukupnya buat haiwan-haiwan yang sedang dalam kesulitan.

Media sosial sudah banyak dibanjiri gambar dan video tentang haiwan-haiwan yang kehausan merangkak mencari air di kolam renang dan mangkuk air mandian burung di kediaman manusia.

Burgess berharap rawatan yang diberikan kepada possum jagaannya tepat pada waktu, lebih-lebih lagi menyedari marsupial itu mempunyai anak dalam kantungnya.

"Apabila kami mengintai dalam kantungnya, kami terlihat anak possum tersebut. Ia ternyata possum yang sudah melakukan segalanya untuk memastikan keselamatan anaknya,” ujar Burgess.