Arab Saudi mendakwa serangan dron ke atas fasiliti minyak Aramco pada 14 September lepas, ditaja oleh Iran.

Menurut Jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Kolonel Turki Al-Malki, serangan tersebut tidak mungkin dilancarkan dari Yemen.

Jelasnya, tiada bukti bahawa serangan itu dilancarkan dari Yemen seperti mana yang didakwa oleh puak pemberontak Houti Iran.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas pada Rabu sambil menunjukkan serpihan serangan daripada senjata yang digunakan dalam serangan itu.

Katanya, terdapat sebuah dron yang ditemui dan kesan peluru berpandu yang diperolehi memberikan bukti terhadap pencerobohan Iran.

BACA: Imej satelit dedah kerosakan kilang Saudi Aramco diserang dron

Tambahnya terdapat pengunaan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) selain penggunaan peluru pemandu.

Jelasnya lagi, serangan itu juga dilancarkan dari utara negara itu.

Sebelum ini Arab Saudi dilaporkan menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco berkenaan.

Ia menjejaskan kira-kira separuh pengeluaran keseluruhan syarikat berkenaan.