Berita  | Dunia

Arab Saudi sahkan wartawan kanan, Jamal Khashoggi mati dibunuh

Arab Saudi sahkan wartawan kanan, Jamal Khashoggi mati dibunuh
Kerajaan Arab Saudi mengesahkan kematian wartawan kanan Jamal Khashoggi menerusi pengumuman di stesen televisyen berita rasmi negara itu. - Foto AP
ANKARA, TURKI: Kerajaan Arab Saudi mengesahkan kematian wartawan kanan Jamal Khashoggi menerusi pengumuman di stesen televisyen berita rasmi negara itu.

Menurut CNN, Kerajaan Arab Saudi telah menubuhkan satu suruhanjaya yang akan menyiasat kematian Khashoggi selain mempunyai tempoh sebulan untuk mendedahkan laporan penyiasatan tersebut.

Suruhanjaya itu terdiri daripada pegawai keselamatan negara, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri.
Setakat ini, 18 suspek yang merupakan warga Arab Saudi ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam pengumuman di stesen TV rasmi Arab Saudi, satu perintah diraja dikeluarkan untuk memberhentikan Maj Jeneral, Ahmed al-Assiri daripada tugasnya sebagai timbalan perisikan.

Khashoggi hilang pada 2 Oktober lalu selepas pergi ke konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mendapatkan dokumen bagi menikahi tunangnya, Hatice Cengiz.

Perbincangan antara Khashoggi dan mereka yang bertemu dengannya semasa ketibaan di konsulat di Istanbul membawa kepada pertengkaran dan perbalahan fizikal yang menyebabkan kematian kolumnis Washington Post itu.