Seorang pegawai kanan Arab Saudi pada Jumaat mengeluarkan kenyataan seolah-olah mengesahkan laporan media bahawa kerajaan itu mahu meneruskan sebuah projek membina terusan, untuk memisahkan Qatar dengan tanah besar.

Itu bermakna Qatar bakal bertukar menjadi sebuah pulau, lapor Reuters.

“Sebagai seorang warganegara, saya tidak sabar untuk menunggu butiran mengenai pelaksanaan projek ‘Pulau Salwa’ itu.

“Projek yang bersejarah itu akan menukar geografi rantau tersebut,” ujar penasihat kanan Putera Mahkota Mohammad Salman, Saud al-Qahtani.

Pihak berkuasa Qatar bagaimanapun belum memberi sebarang ulasan tentang perkembangan tersebut.

Qatar adalah negara yang kaya dengan pelbagai sumber namun kini berdepan masalah hubungan diplomatik dengan negara-negara jirannya. - Reuters

Sejak beberapa bulan lalu, Qahtani ada menyebut tentang projek itu menerusi Twitter. Namun, tweet pada Jumaat dirujuk sebagai maklumat terkini yang paling jelas tentang inisiatif berkenaan.

Hal itu bagaimanapun, menerima kritikan. Pihak pemerhati umum melihatnya sebagai satu taktik perhubungan awam semata-mata yang disasarkan untuk ‘menakut-nakutkan’ Qatar.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir Saudi Arabia, telah memutuskan hubungan diplomatik, pedagangan dan pengangkutan dengan Qatar pada Jun 2017, kerana mendakwa negara itu menyokong aktiviti keganasan.

Doha menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia suatu sabotaj terhadap kedaulatan negaranya.

INFOGRAFIK: Krisis diplomatik Qatar

Laporan tentang terusan itu kali pertyama dilaporkan portal berita Sabq. Pada April. Satu sumber yang tidak dinamakan, mendedahkan bahawa Arab Saudi merancang untuk membangunkan pangkalan tentera dan tapak pelupusan nuklear berdekatan kawasan terusan sepanjang 60 kilometer tersebut.

Terusan yang dikatakan menelan kos berjumlah 2.8 bilion Riyal (RM3.07 bilion) itu dilaporkan selebar 200 meter dan sedalam 20 meter.

Laporan sebuah akhbar di Mekah pada Jun lalu menyatakan Jeddah akan meneruskan pelan tersebut, dengan lima buah syarikat dipelawa untuk membida projek berkenaan.

Lantikan syarikat untuk projek itu akan diumumkan dalam bulan ini (September).