Ariel Sharon yang meninggal dunia pada Sabtu disifatkan sebagai antara pemimpin politik dan tentera Israel yang cukup kontroversi. Sikapnya yang keras menjadikan orang memanggilnya sebagai "TheBulldozer".

Semasa jadi tentera, dia terlibat dalam semua peperangan besar Israel. Dia kemudian terjun ke dunia politik pada 1973. Kerjayanya sebagai ahli politik penuh dengan gelora sehinggalah kemuncaknya apabila dia mengalami serangan angin ahmar pada Januari 2006 yang menyebabkan dia koma dan tidak sedarkan diri sehinggalah kematiannya hari ini.

Dia yang terpilih jadi Perdana Menteri Israel pada 2001 dikecam teruk dan dihina kerana bertanggungjawab terhadap pembantaian ke atas pelarian Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila pada 1982.

Sharon merupakan antara generasi Zionis yang terlibat mengasaskan cita-cita tegaknya negara Israel. Dia meninggalkan legasi yang cukup kompleks yang kesannya dirasai sehingga hari ini oleh rakyat Palestin serta percaturan krisis Asia Barat itu.

Dialah orangnya yang menyusun dan melaksanakan dasar pemisahan dengan Palestin termasuk membina tembok pemisah di Tebing Barat pada 2002.

NILIN : Palestinian protesters wave the national flag as their comrades climb Israel's controversial separation barrier during clashes with Israeli security forces following a demonstration against Israeli settlements and its separation wall, in the West Bank village of Nilin near the Jewish settlement of Hashmonaim (background), on May 31, 2013. AFP PHOTO/ ABBAS MOMANI

Sharon dilahirkan di wilayah Palestin pada 26 Februari 1928. Keluarganya merupakan keturunan Yahudi berasal dari Belarus. Pada usianya 17 tahun, dia menyertai kumpulan bersenjata Haganah yang memperjuangkan penubuhan negara Yahudi itu. Kumpulan itu kemudiannya menjadi ketumbukan tentera Israel.

Dia terkenal dengan sikapnya yang keras kepala dan degil serta tidak bertolak ansur dalam soal penubuhan negara Israel.

Semasa mengetuai kumpulan elit tentera komando rejim Yahudi, Sharon terlibat dalam beberapa serangan ke atas tentera Arab termasuk satu insiden yang cukup menyayat hati yang menyaksikan hampir 60 orang awam Palestin di perkampungan Qibya dekat Ramallah terbunuh pada 1953.

Semasa Perang Enam Hari 1967, ketika mana Israel merampas Tebing Barat dan Gaza, serta wilayah timur Baitulmaqdis dan Bukit Golan, Sharon mengetuai pasukan kereta kebal tentera Israel.

Enam tahun kemudian semasa Perang Yom Kippur pada 1973, dia yang bersara ketika itu dipanggil semula untuk mengetuai pasukan tentera merentas Terusan Suez.

Setahun sebelum itu, dia meninggalkan pasukan tentera untuk masuk politik. Dia membantu mengasaskan parti haluan kanan, Parti Likud yang dipimpin oleh Menachem Begin yang mula berkuasa pada 1977.

Sebagai menteri pertanian, Sharon bertangggungjawab membantu pembukaan kawasan petempatan Yahudi di Tebing Barat.

Sebagai menteri pertahanan, dia jadi dalang pencerobohan Israel ke atas Lubnan ketika mana tentera rejim Yahudi mengepung ibu pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Beirut.

Biarpun PLO berjaya diusir, pemimpinnya Yasser Arafat bolos menyelamatkan diri. Dia mengakui kegagalannya menyekat Yasser itu kembali menghantui dirinya selama beberapa dekad kemudian.

Peristiwa berdarah di Sabra dan Shatila yang mengejutkan dunia menamatkan kariernya sebagai menteri pertahanan selepas siasatan rasmi mendapati dia "bertanggungjawab secara tidak langsung".

Pada 1999, bintang politiknya bersinar apabila dia mengambil alih pimpinan Parti Likud yang ketika itu jadi pembangkang.

Setahun kemudian, Sharon membuat satu tindakan provokasi yang mencetuskan kemarahan dunia Islam dan rakyat Palestin khususnya apabila dia melawat Masjid Al-Aqsa yang jadi titik konflik krisis Israel-Palestin. Lawatan pada 28 September 2000 itu mencetuskan intifada kedua.

Pada 2001, Sharon menang pilihan raya setelah pengundi memberikan sokongan kepada kempennya untuk menangani apa yang disifatkan oleh Zionis sebagai "keganasan" Palestin. Dia menggerakkan kempen mengepung ibu pejabat PLO di Ramallah dan hanya membenarkan Yasser lepas daripada kepungan itu untuk menjalani rawatan di Perancis. Yasser meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ada khabar angin kononnya dia diracun tetapi dakwaan itu dinafikan oleh rejim Yahudi.

Sharon kemudiannya menunjukkan sikapnya yang berkendur apabila membuat kejutan mengundurkan tentera Israel dan pendatang Yahudi daripada wilayah Gaza yang diduduki.

Namun tindakannya itu dikatakan dibuat ekoran kebimbangan orang Yahudi tidakmungkin jadi kelompok majoriti di wilayah sempit tetapi padat penduduk itu.

Dia dituduh belot kerana keputusannya itu. Sharon kemudian meninggalkan Parti Likud untuk menubuhkan Parti Kadima dengan gagasan membuat lebih banyak pengunduran daripada Tebing Barat.

Tetapi hanya enam minggu kemudian, pada 4 Januari 2006, dia diserang angin ahmar. Dia tidak pernah sedarkan diri sejak itu sehinggalah kematiannya hari ini. -- Agensi